Kisah Seram Tingkat 4 Blok Asrama Lama Di Sebuah Universiti Awam

Hari ini kami nak kongsikan dengan anda kisah seram individu berdasarkan pengalaman beliau sendiri ketika menuntut pelajaran di salah sebuah Universiti awam di Malaysia.

Jom baca..

Waktu tu, aku berumur 18 tahun, iaitu setahun selepas SPM.

Aku mendapat keputusan SPM yang boleh dibanggakan jugak la dan aku dapat tawaran untuk sambung belajar di sebuah IPTA (rasanya tak perlu sebut universiti mana, demi kebaikan Universiti tersebut)

So, aku tersangatlah gembira kerana aku dapat kursus yang aku sangat harapkan dan aku sangat minat dengan kursus tu, iaitu Diploma Sains Komputer.

Dipendekkan cerita, tiba la masanya untuk aku pergi ke universiti tersebut untuk melengkapkan proses pendaftaran.

Aku ni sebenarnya seorang yang sangat terkenal (di kalangan kawan-kawan sekolah aku) dengan perangai suka lewat.

Pergi sekolah lewat, masuk kelas lewat, hantar kerja sekolah lewat, solat berjemaah lewat, semua benda memang lewat je aku ni. Begitu juga dengan hari pendaftaran di Universiti ini.

Waktu aku sampai di dewan serbaguna (MPH) universiti tersebut untuk pendaftaran, aku tengok orang dah tak ramai. Masih ada yang beratur untuk pendaftaran tapi memang sikit la.

Aku pergi ke satu meja ni untuk tengok nama aku.

Boleh nampak disenarai tersebut, nama aku sorang sahaja lagi yang tertinggal.

Ada beberapa meja di situ iaitu untuk pendaftaran semester, daftar kursus, daftar itu dan ini. Akhir sekali adalah pendaftaran untuk bilik di ASRAMA.

Sampai di pendaftaran bilik asrama ini, aku dapat tingkat 4 di sebuah bangunan asrama lama.

Agak buruk sikit la. Aku dapat tingkat paling atas sekali iaitu tingkat 4. Bilik yang aku dapat tu adalah untuk dua orang sebenarnya tapi dah tiada orang dah lepas aku, maknanya aku duduk sorang-sorang la dalam bilik tu.

Aku agak gembira la sebab dapat duduk sorang satu bilik tu.

Tidak la serabut sangat dengan suasana bising. Luas pun luas.

Tiba di bangunan asrama, aku jalan-jalan cari di mana tangga. Boleh nampak la ramai pelajar dengan mak ayah diorang angkut barang.

Agak meriah la ramai orang. Aku teruskan berjalan. Aku naik satu tingkat pun sama ramai pelakar. Satu tingkat lagi, pun sama ramai pelajar. Begitu juga tingkat yang seterusnya.

Tapi sampai je di tingkat aku, aku tengok langsung tiada orang.

Ohh lupa bagitahu, aku ini jenis seorang yang ‘lone ranger’. Aku datang sorang-sorang tanpa mak ayah aku. Buat apa bawak mak ayah, kesian mak ayah aku letihkan diorang.

Di tingkat 4 tu aku dapat rasa aku seorang je yang duduk di tingkat 4 sebenarnya.

Aku seorang yang ringkas.

Dengan hanya dua beg baju aku ni, aku sumbat sekali baju, laptop, pengecas, barang-barang mandi dalam dua beg ini dan aku tak perlu dah angkut-angkut barang.

Masuk je dua beg ni dalam bilik, aku terus berbaring atas katil. Empuknya walaupun bangunan lama, tapi bilik aku tu sangat selesa. Tak panas, kipas kuat, katil memang tebal dan empuk. Tak lama lepas tu, aku terlena.

Dalam terlena itu, dalam kegelapan tu.

Tiba-tiba..

Aku dengar orang ketuk pintu bilik aku dengan laju.

Mula-mula bunyinya sangat sayup-sayup je. Waktu kedengaran sayup-sayup tu, aku seolah-olah dah sedar dari lena tapi mata aku susah nak dibuka.

Badan aku susah nak bergerak seperti kena tindih. Ketukan pintu tu terus berbunyi, tiba-tiba makin kuat dan sangat kuat bunyi ketukan pintu tu.

Akhirnya nasib baik aku terjaga.

Bunyi ketukan pintu yang kuat tadi terus hilang sebaik sahaja aku dapat bangun. Pelik. Aku dengan pantas pergi ke pintu bilik dan bukak.

Tengok di luar bilik tiada seorang pun. Sunyi sepi. Aku tengok jam di telefon baru pukul 3 petang.

Hari ni tiada buat apa-apa sebab pihak universiti beri masa pada pelajar untuk rehat di bilik pada hari pertama. Esok baru la mula orientasi.

Aku masa tu agak bosan la sunyi sepi je tingkat aku. Turun tingkat bawah, baru la rasa meriah sikit. Dengar bunyi lagu, bunyi permainan laptop, bunyi orang sembang-sembang.

Akhirnya aku bercadang pergi ke pejabat pengurusan asrama.

Sampai je, aku tanya pada akak yang ada dalam pejabat tu tentang tingkat 4 di blok asrama yang aku duduk. Akak tu cakap, di tingkat 4 tu aku sorang je duduk.

Tapi dia cakap dalam 2 bulan lagi, akan ada pengambilan baru dan kemungkinan segelintir budak-budak tu akan duduk tingkat 4 tersebut.

Aku redha, itu lah akibatnya suka LEWAT.

Aku balik semula ke asrama.

Oleh kerana belum kenal sesiapa lagi, aku duduk terperap dalam bilik je. Buka laptop dan layari internet. Kadang-kadang main ‘game’.

Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Aku pun bercadang nak pergi mandi. Setiap tingkat ada dua tandas. Satu di hujung dan satu lagi di hujung yang satu lagi.

Aku pun pergi la tandas yang dekat dengan aku.

Aku memang syok mandi kat tandas tu. Paip air hujan, kuat pulak tu airnya. Tengah aku syampu rambut aku, tiba-tiba terdengar bunyi air paip yang sangat laju dan kuat.

Bersambung…

Waktu tu mata aku tertutup, tak boleh buka kerana buih syampu yang banyak. Aku cepat-cepat bilas rambut aku dengan air.

Selesai je, aku tutup paip air dan memang sah ada paip ditinggalkan terbuka di luar kubikel mandi aku ni. Sebab aku masih lagi dengar air melimpah-limpah.

Bila aku keluar, kelihatan semua paip di ketiga-tiga sinki terbuka penuh.

Aku tutup kesemuanya tapi masih lagi kedengaran bunyi paip air. Aku pergi tengok paip di tempat ambil wudhu. Tiga-tiga paip tempat ambil wudhu juga terbuka penuh.

Keluar je tandas, kedengaran masih ada lagi bunyi paip air yang terbuka.

Sayup sayup je bunyinya. Aku dapat lihat dari jauh tandas di hujung yang satu lagi tu paip di tempat ambil wudhu dibiarkan terbuka.

Oleh kerana jauh sangat, aku tak berani pergi hujung sana. Aku buat tak tahu, masuk bilik, dan terus kunci pintu. Dipendekkan cerita, 3 minggu sudah berlalu.

Orientasi program telah tamat dan dah seminggu aku masuk kelas. Aku kenal la beberapa orang kawan. Ada seorang kawan aku tu, Fahmi namanya.

Kadang-kadang dia datang bilik aku untuk tidur, kadang-kadang dia tidur bilik dia.

Sepanjang 3 minggu, aku masih dapat gangguan yang sama seperti paip air terbuka, bunyi orang ketuk pintu dan tingkap tapi aku dah biasa. Bukan tak takut, takut sebenarnya tapi aku buat tak tahu je.

Tak lama lagi, cuti raya cina.

Aku bercadang nak balik kampung, nak cerita la jugak pada mak ayah aku suasana di universiti tu.

Fahmi tak pulang ke kampung dan ada la beberapa orang yang duduk di asrama. Di setiap tingkat tu, mungkin ada lah dalam 5-6 orang tak pulang ke kampung.

Dipendekkan cerita, aku pulang ke kampung jumpa mak ayah, keluarga, kawan-kawan sekolah.

Memang seronok la jumpa kawan-kawan sekolah.

Masing-masing cerita pasal universiti masing-masing. Ada yang masuk matrikulasi dan ada yang masih tak dapat masuk universiti. Macam-macam lagi lah.

Tapi aku seorang je cerita pengalaman diganggu hantu kat universiti.

Bila dah habis bercuti, macam biasa aku akan ambil tiket paling lewat sekali. Pukul 11 malam adalah tiket paling lewat. Esoknya akan sampai pukul 6 pagi. Pukul 8 pagi ada kelas.

Biasa la aku suka ‘last minit’.

Dipendekkan cerita, aku sampai di universiti. Waktu tu dalam pukul 6.30 pagi aku sampai di bilik terus aku mandi-mandi, solat dan siap-siap pergi ke kelas.

Sampai di kelas macam biasa aku jumpa Fahmi, tegur dia tapi dia buat tak tahu je. Pelik jugak, aku abaikan dan aku ikut belakang dia. Dia duduk di satu tempat tu dan aku pun duduk sebelah dia.

Tapi dia boleh pulak bangun pergi duduk kat lain. Punya la sombong. Aku tak faham dan pelik tapi aku abaikan. Lantak dia lah.

Dua hari perangai dia macam tu, tetap tak berubah. Dia seolah-olah takut dengan aku dan dah tak nak berkawan dengan aku.

Aku panas hati jugak la.

Ada satu hari tu, dia tengah makan di kafe dengan kawan-kawan lain. Kebetulan waktu tu aku baru je nak pergi makan. Sebelum aku ambil makanan, aku pergi kat dia dulu. Aku terus tegur dia dengan kasar.

“weyhh, apahal dengan kau ni. Kau tak puas hati apa dengan aku? Aku ada salah apa?”

“Err..tiada apa. Aku…..akuu…err …aku cuma tak sihat”, kata Fahmi.

Aku boleh nampak dia menipu.

“weyh terus terang la bod0h”.

“err..kau tak takut ke duduk seorang diri kat tingkat 4 tu?”, tanya Fahmi.

“Takut??? Takut apa?? Hantu??”, jawab aku.

“err..ye hantu”, dia balas.

“Ok…aku pernah kena ganggu.”, jawab aku.

Aku ceritakan segala gangguan yang aku pernah kena. Aku cerita semuanya dan aku sambung..

“dalam 3 minggu tu, banyak kali jugak la aku kena ganggu, tapi aku buat tak tahu je”.

Fahmi yang sebelum ni nampak takut dengan aku seperti cuba memberanikan diri dengan bertanya,

“Kau ada bela saka?”

“Apa kau cakap ni? Aku tiada masa main benda cilaka tu lah!”, aku jawab dengan marah.

Fahmi tanya lagi, “err kau ada balik ke asrama ke sepanjang cuti?”

Aku jawab,

“Aku cuti, kat kampung la. Kau pun tahu aku suka datang lewat, subuh khamis baru aku sampai..”

Fahmi balas,

“Ok aku terus terang. Cuti raya cina kau balik tapi aku ada kat asrama. Rakan sebilik aku pun balik kampung jugak. Kadang-kadang aku pergi bilik Toyyib tumpang tidur kat bilik dia dan kadang-kadang aku tidur seorang kat bilik.”

“Hari Isnin, masa tu aku tengah bosan tak tahu nak buat apa. Toyyib pulak pergi keluar jumpa awek katanya. Aku duduk atas katil baring-baring belek telefon dan tak lama lepas tu, aku tertidur.”

Fahmi sambung lagi,

“Tengah syok aku tidur, tiba-tiba aku dengar orang ketuk bilik aku. Ketukan tu kuat dan berterusan. Tak berhenti. Aku terjaga, aku tak bukak lagi pintu dan pintu tu masih lagi diketuk langsung tak berhenti.”

“Pelik jugak aku. Tak letih ke ketuk pintu lama-lama ni? Aku tersangat malas nak bangun, mata aku tersangat susah nak bukak.”

“Tapi pintu tu diketuk je memanjang ‘tuk tukk tukk tuk tuuk  tukk tukk’. berterusan. Macam orang gila yang ketuk pintu. Aku pun gapai dulu telefon aku. Aku tengok jam di telefon sudah pukul 3.30 pagi.”

“Aku kata ni mesti orang gila b**g*at ni kacau aku tidur pagi-pagi buta. Dengan keadaan malas, aku pergi jugak la bukak pintu. Kau nak tahu siapa yang ketuk pintu aku?????”

Aku yang ingin tahu ni dengan pantas bertanya, “Siapa??”.

“Kau yang ketuk pintu aku. Aku pelik jugak, aku pun tanya la kau, ‘hari tu kau kata balik, tapi kenapa ada di asrama lagi’. Kau diam, langsung tak jawab aku tanya. Aku tanya lagi, ‘ada apa kau datang bilik aku pagi-pagi buta ni’.”

“Kau masih diam, kau senyap. Waktu tu aku mengantuk sangat, aku pun bercakap dah tak pandang sangat la muka kau. Aku ajak kau masuk dan kau berdiri dalam bilik aku. Aku pulak baringkan badan aku atas katil dan sekejap je, aku terus terlena.”

“Dalam sedap aku terlena, tiba-tiba aku terdengar bunyi ketukan yang sangat kuat. ‘bamm, bammm bamm bamm bamm bammm’. Aku pun terjaga. Aku tengok bilik aku terang, aku lupa tutup lampu tadi. Masih kedengaran lagi bunyi ketukan bising tu. Aku cuba bukak jugak mata aku luas-luas.”

“Aku tengok kau ketuk-ketuk ‘locker’ aku kuat-kuat sambil kepala kau menoleh pandang aku. Mata kau bulat dan putih. Muka kau pucat. Aku beranikan diri aku tanya, ‘kau ok ke tak’. Tapi kau diam. Aku pun bangun perlahan-lahan bergerak ke arah pintu bilik.”

“Agak-agak dah dekat dengan pintu bilik tu, aku cepat-cepat lajukan pergerakan aku. Aku keluar dan terus berlari ke bilik Toyyib. Aku yakin Toyyib dah ada dalam bilik.”

“Aku ketuk-ketuk pintu dia kuat-kuat. Dalam cemas tu, sambil aku ketuk pintu bilik Toyyib, sekejap sekejap aku berpaling ke arah bilik aku.”

“Dari jauh aku nampak kau bergerak menuju kat aku dengan laju, tangan kau dua-dua ke depan macam Frakenstein berjalan. Sumpah seram, Kalau kena betul-betul depan kau, kau tahu la macam mana seramnya. Sebelum kau sampai kat aku, nasib baik Toyyib bukak pintunya”

“Sebaik dia bukak pintu dia, aku terus tolak kuat-kuat pintu dia. Tercabut kuku ibu jari kaki Toyyib. Nasib baik Toyyib tak marah aku. Aku masuk bilik Toyyib, aku cerita semua kat Toyyib.”

“Tahu tak kitorang fikir apa pasal kau?  Kitorang fikir kau bela saka. Aku pikir baik kau pergi periksa kat mana-mana rawatan Islam.”

Oh, sebab itulah kawan-kawan aku semua pandang aku lain macam, sombong dengan aku. Rupanya mereka fikir aku bela saka.

Bersambung..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *